Sunday, August 22, 2010

Kenapa kita perlu wasiat??

Lima Sebab Mengapa Anda Memerlukan Wasiat



1. Siapa Yang Akan Menyelesaikan Hutang Dunia dan Akhirat?

Sekiranya anda tahu bila anda akan meninggal, anda tidak memerlukan wasiat.

Jika tidak tahu, wasiat diperlukan oleh waris-waris bagi menyelesaikan hutang-hutang anda. Adalah tidak logik waris-waris anda menerima harta-harta anda, sedangkan anda masih berhutang. Berikut ialah antara jenis-jenis hutang:

>> Hutang-piutang anda dengan saudara-mara, kawan dan bank-bank
>> Hutang-hutang akhirat iaitu puasa, haji, zakat dan nazar yang belum ditunaikan.

2. Anda Mahu Membahagikan Harta Kepada Anak Angkat

Sekiranya anda ada memelihara anak angkat, dan anda bercadang memberikan harta kepada anak angkat, maka segerakan pemberian sebelum anda meninggal.

Jika tidak mengetahui bila anda akan meninggal, maka anda perlu menulis wasiat. Ini kerana mengikut hukum Islam, anak angkat bukanlah darah daging anda, jadi anak angkat tidak berhak menerima harta pusaka. Dengan wasiat, anak angkat berpeluang memperolehi harta anda selepas anda meninggal.

3. Isteri Anda Berhak Mendapat Bahagian Yang Wajar Apabila Suami Meninggal

Isteri telah hidup bersama dengan anda sepanjang hayat dan telah membangunkan keluarga sehingga berjaya di dunia dan di akhirat.

Tetapi apabila suami meninggal, dan mengikut faraid, isteri anda hanya berhak mendapat satu perlapan daripada harta anda. Isteri merasakan bahawa ia patut mendapat sekurang-kurangnya setengah daripada harta, terutama rumah kediaman yang telah membangunkan keluarga.

Bagi si-isteri mendapat harta lebih daripada satu perlapan, wasiat perlu ditulis oleh suami. Isteri harus bijak mempengaruhi suami supaya menulis wasiat bagi menjaga kepentingan hak isteri selepas suami meninggal dunia.

4. Anak-Anak Berhak Mendapat Bahagian Yang Adil

Sebagai ibu-bapa, kita berhak memberi keadilan kepada semua anak samada ia lelaki atau perempuan. Kadang-kadang, atas sebab-sebab tertentu, ibu-bapa hendak membahagikan harta kepada anak-anak mengikut kehendak mereka. Ia boleh dilakukan semasa ibu-bapa masih hidup lagi.

Jika tidak dibahagikan semasa hidup, wasiat diperlukan bagi menjelaskan bahagian-bahagian harta kepada anak-anak mengikut kehendak ibu-bapa.

Sekiranya ibu-bapa menulis surat dengan baik dan secara emosi (contoh: meminta anak-anak menghormati keputusan ibu-bapa dan ini soal dunia), biasanya kandungan wasiat akan dipatuhi. Jika ada anak-anak yang menentang, maka wasiat tidak akan berkesan dan terpaksa menggunakan hukuk faraid bagi membahagikan harta.

5. Anda Hendak Membahagikan Harta Kepada Bukan Waris

Mengikut hukum Islam, hanya waris-waris sahaja yang berhak mendapat harta si-mati. Ini bermakna sekiranya anda tidak meninggalkan wasiat, waris-waris anda tidak boleh membahagikan harta kepada bukan waris dan mewakafkan harta kepada masjid dan sebagainya.

Sekiranya anda berhajat memberikan harta kepada bukan waris, memberi sedekah dan mewakafkan harta kepada masjid, maka selesaikan ia semasa anda hidup lagi. Jika tidak, wasiat diperlukan dengan menyatakan hajat pembahagian harta anda itu.

Mengikut hukum faraid, anda berhak membahagikan satu-pertiga harta kepada bukan waris termasuklah sedekah dan wakaf. Sebenarnya, anda boleh membahagi lebih daripada satu-pertiga dengan syarat ia tidak ditentang oleh waris-waris.

No comments:

Post a Comment